Oleh Paya Linda Yahya
Masjid Tok Pulai Chondong
‘BULAT air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.’ Itulah yang dapat digambarkan penduduk Kampung Pulai Chondong, Machang 154 tahun lalu ketika mendirikan menara masjid berkenaan yang mempunyaiketinggian 17.3 meter.
Tanpa menggunakan teknologi canggih, menara setinggi 17.3 meter itu dibina daripada sebatang kayu pokok cengal hanya menggunakan tenaga manusia.
Menara Masjid Pulai Chondong itu dibina Abdus Samad Faqeh Abdullah yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Pulai Chondong’ yang terkenal pada abad ke-19.
Menyingkap kisah Tok Pulai Condong, beliau adalah se orang ulama Melayu terkemuka di nusantara yang bertanggungjawab menyebarkan syiar Islam.
Beliau adalah antara ulama terawal di Kelantan yang dilahirkan ketika zaman pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1792.
Berdasarkan catatan yang terdapat pada masjid itu, ia dibina pada tahun 1857 iaitu 100 tahun sebelum merdeka. Menara berkenaan dibina dengan bentuk segi lapan dan terdiri daripada 25 anak tangga.
Menara itu dahulunya digunakan penduduk kampung untuk melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Keunikan menara berkenaan adalah ia lebih condong ke arah utara walaupun penduduk kampung pernah cuba menegakkannya.
Cicit Tok Pulai Chondong, Mohd Nor Mohamed, 74, berkata kayu cengal menara itu diambil daripada Kampung Cina, Kok Lanas yang terletak kira-kira 15 kilometer daripada Pulai Chondong.
“Menurut cerita yang disampaikan turun temurun, orang ramai bergotong-royong membawa pulang pokok kayu cengal ini yang panjangnya 25.6 meter dari Kampung Cina, namun bagaimana caranya tidak diketahui.
“Menara terbabit ditanam sedalam 8.3 meter. Sewaktu mendirikan menara ini beduk dibunyikan untuk memanggil penduduk kampung turut sama membantu,” katanya.
Beliau berkata, sebelum membina surau itu, Tok Pulai Chondong membina sebuah surau lain di Kampung Bilal Talib dan diberikan nama surau Pulai Chondong sempena nama pokok Pulai yang tumbuh condong di tapak surau itu.
“Namun, surau itu terbakar pada tahun 1820. Menara ini pada awal pembinaannya dijadikan tempat melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat,” katanya.
Mohd Nor berkata menara berkenaan masih utuh sehingga sekarang walaupun Kelantan pernah dilanda ribut besar suatu ketika dulu.
“Pada 1880, Kelantan dilanda ribut besar sehingga pokok di sekitar menara ini tumbang.
“Sehingga kini, ramai datang bertemu saya untuk bertanyakan sejarah menara termasuk pensyarah dan pelajar universiti,” katanya.
Menyingkap sejarah hidup Tok Pulai Chondong, Mohd Nor berkata, ulama itu bertanggungjawab memulakan sistem pengajian pondok di Kelantan.
“Pelajar beliau pada masa itu datang dari seluruh pelosok negeri antaranya Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain.
“Tok Pulai Chondong adalah ulama tersohor pada zaman pemerintahan Sultan Mahammad II pada tahun 1838 hingga 1886,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini masjid terbabit masih diguna kan penduduk kampung dengan beberapa pengubah suaian.
“Hanya menara, beduk dan mimbar sahaja yang asal, berusia lebih 100 tahun. Pelbagai program keagamaan dihidup kan di masjid ini seperti kelas mengaji al-Quran, kem solat serta kuliah sebelum Maghrib.
“Malah pada zaman pemerintahan Jepun dua orang tentera Jepun pernah memanjat menara bagi melihat sendiri keunikannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment